Blogger Widgets


POST 1 Title POST 2 Title POST 3 Title POST 4 Title POST 5 Title

Monday, December 3, 2012

MISI AFF 2012: MALAYSIA 2 - INDONESIA 0. SAWADIKHAP! INI MASA UNTUK THAILAND!

Posted by ARIFFIN.SOHLIHOON 1:34 PM, under ,,,, | No comments

Salam to all,

Apa lagi yang perlu dikatakan. Sujud syukur kepada Tuhan, hasrat anak Malaysia untuk melihat Harimau Malaya melangkah ke separuh akhir AFF 2012 terlaksana. Malaysia dijadualkan akan bertemu negara Gajah Putih, Thailand dalam perlawanan timbal balik pada 9/12 dan 13/12 datang.


Sebenarnya kemenangan 2-0 Malaysia ke atas Indonesia adalah sesuatu yang lebih dari sekadar kemenangan untuk melayakkan diri ke separuh akhir. Kemenangan ini dirasakan amat menyentuh benak dan perasaan setiap peminat bolasepak Malaysia dan melibatkan maruah negara yang kita sayangi. Entah mengapa... kadangkala Malaysian Blues sendiri gagal untuk memahami sedalamnya betapa antara Malaysia dan Indonesia mempunyai satu permainan emosi yang cukup menebal.


Sebahagian kecil penyokong Indonesia (Malaysian Blues tetap menganggap sebahagian besar penyokong Indonesia masih bersikap rasional sepertimana majoriti penyokong Malaysia) dilihat cukup taksub dan serangan-serangan provokasi di dalam dan luar jaluran maya cukup jelas terhadap Malaysia. Dendam kesumat mereka cukup menebal jika ianya berkaitan Malaysia. Tidak cukup dengan hal bolasepak, segala hal-hal politik, budaya dan apa sahaja, segalanya tidak kena jika ianya berkaitan Malaysia. Media-media nasional mereka juga sebahagian besarnya sama begitu. Anda boleh pergi ke carian google dan carilah komentar-komentar dan berita-berita sukan dari seberang. Mudah untuk kita baca dan temui bagaimana media mereka berterusan membakar dan mengapi-apikan kebencian melampau ke atas Malaysia. Mujurlah majoriti rakyat Malaysia dan media kita masih punya maruah untuk tidak melayan dan mengeruhkan lagi keadaan. Bukan tidak respon dengan provokosi mereka, tetapi kadangkala akan hanya mengeruhkan keadaaan. Tidak direspon dikata kita pengecut, dilayan provokosi mulalah suara-suara bodoh dari sana mengajak berperang. Bagi Malaysian Blues ianya kenyataan yang bodoh dan tak ada akal. Perang? Menang jadi arang, kalah jadi abu. Minta jauh... Jika takdir menentukan Malaysia terpaksa berperang, kami lebih rela berperang dengan Israel dari bersengketa dengan negara yang serumpun dan mempunyai begitu kaitan sejarah, Indonesia.


Apa pun hakikatnya, rakyat Malaysia tidak lupa apa yang berlaku ketika final kedua Malaysia vs Indonesia di Jakarta dua tahun lalu. Bagaimana pasukan Malaysia terpaksa berlatih di hotel penginapan mereka sahaja atas alasan keselamatan. Bas yang membawa pemain Malaysia ditahan dan dibaling batu dalam perjalanan ke stadium dan akhirnya terpaksa di bawa ke stadium dengan kereta perisai. Dalam tekanan moral yang cukup tinggi ke atas pemain kita, kita mampu juga menjulang AFF 2010 di laman mereka sendiri. Ianya tidak terhenti di situ. Dalam perlawanan akhir Sukan Sea 2011 di stadium yang sama antara Malaysia dan Indonesia, skuad Harimau Muda juga mendapat layanan yang sama. Penyokong mereka menghina dan mengejek ketika lagu Negaraku di mainkan. Usah cerita tergamaknya Jalur Gemilang kita dipijak-pijak dan dibakar.

Hakikatnya. Betapa rakyat Indonesia dianggarkan sekitar 15,000 orang didalam stadium malam semalam. Adakah mereka benar-benar pejuang berani mati yang sanggup menggadaikan nyawa hadir ke Stadium Bukit Jalil jika keselamatan mereka tidak terjamin? Tidak! bukan itu sebabnya. Mereka juga seperti penyokong Malaysia. Mereka hadir untuk menyokong pasukan mereka dan mereka sebenarnya tahu mereka sebenarnya selamat di bumi Malaysia. Memang diakui berlaku sedikit kekecohan sebelum perlawanan tetapi bagi Malaysian Blues ianya satu hal terpencil yang sepatutnya dapat dielakkan. Meminjam kata-kata seorang sahabat ~ benarlah sememangnya provokasi-provokasi ini wujud dalam apa jua pertandingan tetapi yang membezakannya ialah bagaimana kita menangani hal sebegini.


Lagu kebangsaan mereka dinyanyikan tanpa gangguan dan ejekan dari peminat Malaysia. Jika ada yang cuba bertindak "nakal" membuat bising, pasti ada yang menegurnya. Geng Ultras Malaya yang terkenal dengan sorakan mereka berada paling dekat dengan penyokong Indonesia dan mereka bertindak matang dengan menghormati ketika lagu kebangsaan Indonesia dimainkan. Dapat kita rasakan betapa seluruh stadium menghormati ketika lagu mereka dimainkan. Penyokong Malaysia bertepuk tangan bila mereka selesai menyanyikan lagu kebangsaan mereka. Siapa yang membaling objek ketengah padang? Malaysia? Jika anda anda di stadium ketika itu... anda sendiri tahu jawapannya.

Malaysian Blues hadir dalam perlawanan semalam di Bukit Jalil. Sebagai seorang yang telah berkeluarga dan membawa bersama anak-anak yang masih bersekolah, Malaysian Blues sentiasa berada dalam keadaan bimbang sekiranya sesuatu kekecohan berlaku. Dengan suhu kepanasan perlawanan antara kedua pasukan kadangkala agak merisaukan. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar.

Malaysian Blues & Junior.
Tapi percayalah, ada segelintir penyokong Malaysia yang belum cukup matang dalam hal ini. Masih kita jumpa penyokong Malaysia yang mengejek dan membuat provokasi kepada penyokong lawan secara melampau. Dengan melakukan sebegitu, maka tiada bezanya kita dan mereka. Yup, sememangnya hati mana yang tidak panas melihat sebahagian mereka mengejek dan menghina tetapi berpada-padalah. Seorang sahabat bercerita tentang beberapa penyokong Malaysia bersikap agak "nakal" mengejek dan membuat provokasi melampau kepada beberapa penyokong Indonesia yang sedang berjalan selepas perlawanan berakhir di kawasan parking kereta. Mujurlah tiada tindakbalas dari penyokong Indonesia tersebut. Tetapi jika berlaku pergaduhan dan sebagainya, penyokong Malaysia itulah yang akan menerima terajang pertama dari sahabat tersebut. Come on la Malaysia. Seperti yang Malaysian Blues katakan tadi, tidak semua penyokong Indonesia itu samseng. Dan jangan pula kita yang menjadi samseng. Beberapa kekecohan yang berlaku hanyalah diperbesar-besarkan oleh pihak tertentu sedangkan majoritinya masih kekal menjaga maruah negara dengan kesopanan yang terkawal.

Cukup sesak di parking kereta semalam. Pukul 12:00 malam, Malaysian Blues masih belum dapat keluar dari kawasan stadium. Dapat dilihat beberapa penyokong Indonesia yang masih berjersi merah berjalan di kawasan stadium dan tiada siapa menggangu mereka. Seperti kita, mereka juga hadir untuk menyokong pasukan mereka.Negara kita aman, maka kita sama-samalah kekalkan keamanan. Suatu hari nanti apa yang kita harapkan ada 15000 penyokong Malaysia di Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta jika Malaysia bermain di sana dan bersorak dengan aman dan damai. Jika kita boleh menerima 15,000 penyokong Indonesia di Bukit Jalil mengapa mereka tidak. Apa yang pasti dan penting sekali ialah keselamatan. Harap mentaliti provokasi melampau ini akan berakhir antara dua negara serumpun yang masih kekal bersaudara ini di masa akan datang.

Kereta Kebal Malaysia... MJ2, Man of the Match.
Ok, misi untuk ke separuh akhir telah terlaksana. Kemenangan 2-0 ke atas Indonesia meletakkan Malaysia ditangga kedua kumpulan B dibelakang Singapura yang dibezakan dengan jaringan gol. 2 gol pantas dari Azamuddin Akil & Mahali Jasuli terus meranapkan impian Indonesia. Rekod Malaysia ke atas Indonesia semakin melebar. They just cant beat us... anywhere, anytime. Bunyi macam sedikit bongkak tetapi bukan... ianya berbentuk kenyataan... hahaha.


Malaysian Blues memuji persembahan Malaysia dalam perlawanan ini. Walaupun nampak kelihatan agak gugup dalam 10 minit pertama dengan beberapa kesilapan mudah bahagian tengah dan pertahanan, Harimau Malaya berjaya kembali menguasai keadaaan dan mempamerkan persembahan menarik malam itu. Mahali Jasuli dan Wan Zack Haikal membuktikan sekali lagi mereka berhak diturunkan dalam kesebelasan utama. Perubahan taktikal dengan menukar posisi Wan Zack dan Azamuddin dari kiri ke kanan dalam perlawanan jelas mengelirukan Indonesia. Kredit kepada Datuk K dengan keputusan ini. Safee Sali walaupun dilihat kurang mantap tetapi bagi Malaysian Blues kehadirannya membawa pengaruh yang cukup besar dalam persaingan AFF 2012 setakat ini. Diberitakan kecederaan hamstring yang dialaminya menghadkan persembahan mantap beliau. Mungkin ada antara penyokong Malaysia yang kurang bersetuju, tetapi bagi Malaysian Blues, faktor Safee Sali sebenarnya masih diperlukan dalam skuad Harimau Malaya. 

SS10
Tempoh rehat seminggu sebelum turun melayan Thailand dalam perlawanan separuh akhir pertama hujung minggu ini diharapkan dapat digunakan sebaiknya. Kajian mendalam tentang kekuatan dan kelemahan Thailand harus dianalisa dengan teliti dan diharapkan Datuk K dapat menemui ramuan yang cukup-cukup mujarab dalam menghadapi Thailand. Lupakan kekalahan dalam perlawanan persabahatan tempohari. Thailand bukan calang-calang pasukan musim ini. Kita ditewaskan 2-0 ketika perlawanan persabahan beberapa minggu yang lalu. Apapun dalam saingan separuh akhir ini segalanya boleh berubah. Diharapkan juga beberapa pemain yang mengalami kecederaan seperti Mat Yo, S. Kunalan dan Muhymeen kembali pulih untuk sama-sama menggalas tugas penting ini. 

Penyerang berbisa Thailand, Teerasil Dangda penjaring terbanyak setakat ini.
Kepada mereka yang tidak henti-henti mempertikaikan kewibawaan Datuk K. Cukup-cukuplah buat masa ini. Biarlah dia melakukan tugasannya dengan tenang. Biar kita analisa dan buat post mortem selepas kejohanan ini berakhir. Inilah masanya kita memberikan sokongan untuk beliau.

OK, MALAYSIA. Kepada yang berkesempatan, marilah sama-sama turun ke Stadium Bukit Jalil memberikan sokongan kepada Harimau Malaya 9hb ini. Sokongan peminat perlu untuk menyemarakkan semangat pemain-pemain kita. Malaysia perlukan kemenangan yang selesa sebagai bekalan bertandang ke Bangkok selepas itu. Selamat berjaya.

Jom layan ini... 

Match Highlight: AFF 2012 ~ Malaysia 2 - Indonesia 0


Full Match: AFF 2012 ~ Malaysia 2 - Indonesia 0



MALAYSIAN BLUES Youtube: HARIMAU MALAYA ~ What Supporters Do?


Terbaik dari Seberang ~ Kalau kalah sekali, kami bisa ngerti.... hahahaha


Malaysian Blues note: Biarlah persengketaan Malaysia - Indonesia dalam bolasepak diselesaikan dalam padang sahaja. Provokasi-provokasi melampau antara keduanya tidak membantu. Jom turun stadium!



Malaysian Blues - The Chelsea FC



Berikan komen anda...


Kongsikan dengan rakan..

0 comments:

Post a Comment

Komen anda di sini...

MALAYSIAN BLUES - POST TERKINI

MALAYSIA SUPER LEAGUE 2014

ENGLISH PREMIER LEAGUE 2014/15

Komen anda mengenai BLOG MALAYSIANBLUES di sini...